“Aku begitu hairan, perkataan “cinta” bagaikan sihir para pujangga, memeningkan para ahli fikir dan menjadi sebutan para muda mudi. Perkataan cinta merupakan perkataan yang subjektif yang sukar diterangkan secara jelas. Sesetengah pula berkata bahawa cinta tidak dapat diertikan melainkan dengan perkataan cinta itu sendiri. Aneh bukan?” kata seseorang.
“Ya, memang benar, aneh. Kerana cinta, manusia menagihnya. Tanpanya, ia mati. Tanpanya, alam ini tidak tercipta kerana Hebatnya Cinta Sang Pencipta,” jawab seorang lagi.
“Jawapanmu mengagumkanku. Apakah rahsianya? Aku tidak mendapati, melainkan engkaulah yang tersihir oleh cinta! Katakan sahaja, siapakah kekasihmu?”
Ia terdiam. Soalan itu mengunci mati bagi diri yang lalai. “Engkau tampak melindungi sukma hatimu. Katakanlah yang sebenar. Dahulu engkau katakan, engkau berjumpa dengan kekasihmu pada setiap malam.”
Ia terdiam. Terus berdiam. Masih tiada jawapan. “Katakan sahajalah. Engkau katakan, dan segalanya berakhir. Tuhan tidak suka orang yang berbuat durja.”
Ia masih diam. Tetapi kali ini ia bangun dari renungannya. Renungan yang tajam, merentasi masa dan fikir yang ada. Bibirnya bergerak-gerak, ingin menuturkan sesuatu, “Ya, benar.”
Orang tadi seolah-olah teruja. Ia melangkah sambil berpeluk tubuh. “Engkau berjumpa dengannya pada setiap malam bukan?”
“Benar. Aku tidak berdusta.”
“Oh, pasti engkau lemas disihir cinta. Cinta yang agung. Katakanlah, bagaimanakah kekasihmu?”
Ia terdiam lagi. “Kekasihku...”
“Hmm? Aku teruja ingin mendengar jawapanmu. Jawapan yang ikhlas, tentunya,” katanya dengan sinis.
“Kekasihku... sejak aku menemuinya, dialah yang membuka hatiku yang gelap. Memenuhi sukmaku dengan cahaya yang terang benderang. Hatiku yang remuk redam, diusai dan dibelainya dengan lembut dan kasih sayang. Aku tidak lagi merasai kesepian. Aku berjanji setia tidak akan berpisah dengannya!”
Sambil bertepuk tangan, “Wah, wah, wah! Hebat, syabas! Cintamu memang hebat. Katakan lagi, siapakah kekasihmu!”
Ia menyambung, “Sejak itulah, degupnya degup jantungku. Dialah nadiku. Putusnya daripadaku, putuslah harapku, hilanglah pergantunganku.”
“Hebat! Hebat! Hebat!” orang tadi menepuk tangannya.
“Dan... dia juga berjanji setia kepadaku. Dia berjanji, bahawa ia tidak akan berpaling daripadaku, sekalipun jasadku dimamah bumi. Pada pandangan manusia, badanku sudah lenyap, yang tinggal hanyalah nama. Tetapi dia temanku yang tetap setia bersamaku, walau apa yang terjadi kepadaku!”
Tepukannya bertambah kuat. Sambil ketawa terbahak-bahak, ia menggeleng-geleng kepalanya seolah-olah tidak percaya apa yang didengarnya. Kata-kata didengarnya seakan-akan ada orang bercita-cita mengukir awan dengan tangan. “Katakan kepadaku, siapakah kekasihmu!” ia mendesak dengan tiba-tiba. “Tentunya ia seorang yang menawan, anggun dan membuatkan aku kasihan melihat engkau, tersihir akan cintanya!”
“Ya, benar. Dialah indah pada pandanganku. Mahukah aku terangkan kepadamu, misteri yang ingin engkau bongkar?”
“Hahahahahahaha! Tentu sekali. Engkau memberi jawapan yang tepat sekali!”
“Katakan sahaja, dan segalanya berakhir!”
“Baiklah...”
“Dialah Fatihah yang membuka hatiku. Ia membawa hatiku yang gelap gelita, ia membawaku kepada cahaya yang terang benderang. Sejak kehadirannya, cintanya membelaiku dan memimpinku ke jalan yang lurus.”
“Oh... tidak mungkin!”
“Dialah Kahfi yang menerangiku dari satu waktu ke satu waktu. Dan kerana cintanyalah aku dilindungi daripada fitnah pendusta Si Dajjal. Pendusta, pemutar belit bicara seperti engkau!”
“Ah, tidak!”
“Dialah Yaasin yang menjadi jantungku. Aku berjumpa dengannya setiap malam, agar jantungku berdegup selama ia termampu. Tanpanya, putuslah nadiku, lenyaplah aku daripada dunia yang fana ini.”
“Tidak!”
“Dan dialah Mulk yang kutemui setiap malam. Aku diberi janji, ia akan menemaniku hatta aku sudah berada di alamm kubur. Dan dialah yang berhujah untukku pada Hari Pembalasan. Agung Cinta itu bukan?”
“Kembalilah kepada Tuhanmu. Kembalilah kepada Cinta yang Agung. Cinta tafsiranmu, keluarkanlah akalmu daripada cinta yang sempit kepada Cinta yang luas terbentang...”
Si Penyoal terduduk terkesima. Benarkah jawapan itu? Kenapa kali ini ia tersihir akan soalannya sendiri? “Ah... aku merana. Aku insaf... Di manakah perginya Cinta? Di manakah harusku cari? Siapakah sebenarnya kekasihku?”
(Disalin dari : http://resam-padi.blogspot.com/)
0 comments:
Post a Comment