Thursday, October 23, 2008

Inspirasi

Inspirasi I


Ijan (adik saya) ketika Graduasi
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam
Universiti Teknologi Malaysia, 2006.


























Inspirasi II


Pemandu teksi terima sarjana
(Utusan Malaysia, 20Okt2008)


KUALA LUMPUR 19 Okt. – Iltizam untuk menjadi idola kepada lima anaknya membakar semangat seorang pemandu teksi, Ishak Ismail, 56, untuk meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah sarjana.

Hari ini, impiannya itu menjadi kenyataan apabila beliau menerima ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-32 di sini.

Semangat Ishak untuk menimba ilmu terus menyala dan selama 13 tahun memandu teksi di sekitar Shah Alam, beliau sentiasa berfikir untuk mengisi setiap masa terluang dengan perkara yang berfaedah.

‘‘Saya sedar peringkat usia saya agak tua berbanding mahasiswa lain tetapi berbekalkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya nekad sambung belajar peringkat ijazah pada tahun 2002,’’ katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu di sini hari ini.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian ijazah dalam bidang komunikasi dua tahun lepas, datuk kepada tiga orang cucu ini meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Komunikasi Korporat.

Kejayaan hari ini, katanya, adalah berkat doa dan sokongan moral yang diberikan oleh isteri dan keluarga.

Justeru, jelasnya, pengorbanan keluarganya itu tidak akan dipersia-siakan kerana selepas ini, beliau tidak lagi akan menjadi pemandu teksi.

‘‘Cukuplah selama 13 tahun saya jadi pemandu teksi. Saya mahu mengubah kehidupan kami sekeluarga.

‘‘Cuma kenangan manis sepanjang menjadi pemandu teksi tidak akan dilupakan kerana sewaktu menunggu penumpang, itulah masanya saya mentelaah,’’ katanya yang belajar selama dua jam setiap hari.

Beliau berkata, tiga daripada lima orang anaknya kini berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Menurutnya, berbekalkan ijazah sarjana yang ada di tangannya itu, beliau bersedia untuk menjadi pensyarah sambilan jika ditawarkan oleh mana-mana institusi pengajian tinggi.





Inspirasi II


Bapa terima ijazah, anak dapat diploma
(Utusan Malaysia, 23Okt2008)


KUALA LUMPUR 22 Okt. – Dengan keazaman dan tekad untuk menjadi contoh kepada anak-anak, seorang bapa kepada 11 orang anak berjaya menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Linguistik pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-32 di Serdang.

Kejayaan Ahmad Razei Abu Bakar, 49, itu lebih bermakna lagi kerana pada majlis itu, anaknya, Nur Nadjah Ahmad Razei, 21, turut menerima Diploma Pengurusan Perladangan Makanan.

Ahmad yang merupakan bekas kerani di UPM pada tahun 1979 menjadikan kejayaan anak-anak muda yang memperoleh ijazah dalam bidang masing-masing sebagai pendorong untuk melanjutkan pelajaran.

Menurutnya, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah selepas teruja melihat ramai anak-anak muda yang belajar di UPM berjaya dalam pelajaran.

“Mereka semua telah berjaya dan sekarang saya juga tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama menggenggam segulung ijazah yang telah lama saya idamkan.

“Saya sedar tanpa pelajaran dan ilmu pengetahuan, kita tidak akan mampu untuk bersaing,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu di sini hari ini.

Beliau yang juga seorang pegawai keselamatan berkata, kejayaan hari ini adalah berkat doa dan sokongan moral yang diberikan oleh isteri dan keluarga.

“Merekalah yang selama ini menjadi pembakar semangat untuk saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ini.

“Saya mempunyai 11 orang anak dan saya mahu mereka berjaya. Sebagai ayah kita harus menjadi contoh kepada anak-anak,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Nadjah berkata, beliau bangga dengan kejayaan ayahnya hari ini dan rasa bersyukur kerana mereka berdua berjaya menamatkan pelajaran.

Berkat kesabaran dan muafakat, katanya, mereka akhirnya berjaya meneruskan pengajian dan memperoleh apa yang diidamkan.

“Saya juga akan buktikan kepada ayah saya bahawa saya juga nanti akan berjaya memegang segulung ijazah sarjana,” ujarnya.






Seronok dan kagum melihat kejayaan mereka yang berjaya di menara gading.
Mengharungi suka duka, cabaran, halangan dan kepayahan ketika menjadi penuntut. Semangat dan iltizam menjadi pendorong cita-cita. Kemanisan jua dikecapi akhirnya.
Semoga suatu hari nanti saya juga akan bergraduasi seperti mereka.





3 comments:

eZa said...

chaiyo! chaiyo!
sy pon berhajat mcm awak. nk further tp ntah la bile... ;)

Anonymous said...

eza,
ada je halangan..
sy harap dapat laa satu ari nnt.

Anonymous said...

heheheh...tkde ape nk bt meh smg bljr cm kite...at least tkde la pening asyik pikir biler nk ader baby...huhu...